Monday, April 23, 2007

Solat Dhuha hindari kepapaan

"ALlahumma ja'alna minal 'amilin, wala taj'alna minal mutakallimin"

Solat Dhuha hindari kepapaan Oleh ZUARIDA MOHYIN


Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku.
(al-Dhariyat: 56)

Allah s.w.t. Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya. Dia
tidak menciptakan makhluk-Nya dengan sia-sia dan tiada manfaatnya. Malah Allah
yang Maha Bijaksana tidak membiarkan mereka dalam keadaan terkapai-kapai tanpa
pedoman dan panduan, terbiar tanpa pengisian dan amalan.

Bahkan dengan rahmat dan kurniaan nikmat-Nya yang tidak terhingga kepada
manusia, Allah s.w.t. dan Rasul-Nya menunjukkan jalan-jalan ibadat dan
ketaatan, begitu juga pintu-pintu kebaikan dan kebajikan untuk diamalkan sesuai
dengan falsafah sebenar penciptaan jin dan manusia seperti ayat di atas. Salah
satu ibadat sunat yang dianjurkan ialah solat sunat Dhuha.

Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunah, Kolej Universiti Islam
Malaysia (KUIM), Nilai, Negeri Sembilan, Nidzamuddin Zakaria menjelaskan, solat
Dhuha bermaksud solat sunat yang dikerjakan pada waktu dhuha, iaitu pada saat
matahari telah naik lebih kurang setinggi sebatang lembing atau galah
(kira-kira jam 20 minit selepas terbit matahari atau lebih) hinggalah matahari
berada tepat di tengah-tengah langit (sebelum menjelang Zuhur).

“Menurut mazhab jumhur ulama iaitu Imam Malik, Syafie dan Ahmad, solat ini
hukumnya sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) sedangkan Imam Abu Hanifah
hanya memandangnya sebagai suatu amalan sunat biasa.

“Justeru, sunah yang ditinggalkan Baginda Rasulullah ini eloklah dijadikan
amalan bertepatan dengan hadis yang bermaksud: Junjunganku tercinta, Nabi
Muhammad s.a.w. telah berwasiat supaya aku mengerjakan tiga perkara iaitu:

Berpuasa tiga hari pada tiap-tiap bulan (13, 14 dan 15 haribulan daripada
bulan Qamariah), mengerjakan dua rakaat solat Dhuha dan juga supaya aku
mengerjakan solat Witir sebelum aku tidur,” kata Nidzamuddin dalam temu bual
baru-baru ini.

Kelebihan

Menjelaskan kelebihan mereka yang mengamalkan solat ini, kata Nidzamuddin,
setiap amalan kebajikan pasti memperoleh ganjaran setimpal daripada Allah
s.w.t.. Pun begitu, ia mestilah dilengkapi dua syarat utama iaitu ikhlas dan
menepati syariat.

“Setiap ibadat yang disyariatkan juga pasti tersirat hikmah dan fadilat yang
tersendiri. Cuma usah pula hikmah dan fadilat ini yang diutamakan. Dibimbangi
ia menjadi suatu tabiat di mana kita beramal lantaran hikmat semata-mata bukan
lahir daripada rasa keinsafan diri.

“Namun demikian, terdapat nas-nas hadis nabawi yang menggesa umatnya
melakukan amalan solat sunat Dhuha dengan disebutkan fadilatnya bagi
menambahkan semangat dan keinginan untuk melakukan amalan mulia ini.

“Di antaranya hadis riwayat Abu Dzar bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:
Setiap orang menjelang pagi, berdasarkan tulang temulang sendi memerlukan
sedekah. Tiap-tiap tasbih itu sedekah, tiap-tiap tahmid sedekah, tiap-tiap
tahlil adalah sedekah dan tiap-tiap takbir adalah sedekah. Menyeru makruf
adalah sedekah, mencegah mungkar adalah sedekah. Semuanya itu sama nilainya
dengan dua rakaat solat Dhuha,” kata Nidzamuddin.

Selain itu, solat ini juga adalah tanda kesyukuran seorang hamba yang
dikurniakan lengkap sendi tulangnya sebanyak 360 batang pada setiap pagi yang
dilaluinya. Justeru, dhuha atau pagi yang penuh nikmat Ilahi itu disyukuri
dengan menyembah Allah, simbolik kepada terima kasih seorang hamba kepada
Penciptanya.

Persoalan yang sering timbul berkaitan solat ini adalah dari segi
keutamaannya kerana ia berada dalam waktu bekerja. Akui Nidzamuddin, kedua-dua
perkara tersebut memang ada kedudukan dan kepentingannya masing-masing.

Pokoknya cara seseorang itu mengendalikannya mestilah seimbang dan saksama
antara tanggungjawab duniawi dan tuntutan ukhrawi.

Hakikatnya, umat Islam perlu memahami kedudukan solat ini. Pertama,
sebaik-baiknya, ia dilakukan di rumah agar dapat dikerjakan dengan lebih
sempurna. Jadi, jika di tempat bekerja, lakukan dengan menggunakan masa yang
sebaik mungkin.

Kedua, sifat solat ini ringkas dan mudah dilaksanakan di mana-mana tempat
(baik di surau atau bilik sendiri). Masanya pula hanya mengambil masa empat
hingga lima minit. Jadi, apalah salah kalau ia dibudayakan.

Ketiga, pada dasarnya ia adalah sunat hukumnya malah Baginda jua tidak
melaksanakannya dalam bentuk yang konsisten. Hal ini diterangkan oleh Aishah:
Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. mendirikan sembahyang sunat Dhuha.
Sesungguhnya aku mendirikan sembahyang Dhuha walaupun Rasulullah
meninggalkannya. Tetapi pada hakikatnya Baginda suka melakukannya, ini adalah
kerana Baginda bimbang jika selalu mengamalkannya, orang ramai akan mewajibkan
ke atas diri mereka. (Riwayat Muslim).

Oleh itu lakukan solat ini di rumah atau di tempat kerja selagi mana ia tidak
memberatkan atau menghalang tugas-tugas lain yang lebih utama dan penting.

Ruang waktu dan waktu afdal

Sesuailah dengan namanya dhuha yang bermaksud pagi. Jadi ruang waktunya
bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam
kitab-kitab fikah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu
al-Rumh atau batang lembing yakni kira-kira dua meter. Waktu solat ini pula
berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Jadi, secara mudahnya dapat difahami
bahawa batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi hingga 1 petang.

Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas
berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam.

Rasulullah s.a.w. menjelaskan: Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah
meninggi dan kian panas sinarnya. Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut
sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga
1 petang (Kitab al-Majmu' karangan Imam Nawawi).

Justeru, waktu sedemikian eloklah dilaksanakan solat tersebut, apatah lagi
pada saat itu badan memerlukan ‘rehat sebentar’ setelah penat bekerja. Maka
disarankan juga sekiranya masa tersebut diisi sekadar empat hingga lima minit
dengan sujud menyembah Ilahi sama ada di rumah atau di tempat kerja dengan
syarat tidak mengetepikan perkara-perkara atau urusan yang wajib dan utama
daripada yang sunat.

Bilangan rakaat

Yang masyhur di kalangan para ulama adalah paling minimum dua rakaat sahaja
dan bilangan yang maksimum adalah lapan rakaat. Cuma terdapat juga pendapat
sebilangan ulama yang mencadangkan bilangan yang paling afdal iaitu empat
rakaat (dilakukan secara dua kali salam). Ini bersandarkan hadis Aishah
(Riwayat Imam Abu Daud) menjelaskan bahawa Nabi melakukannya sebanyak empat
rakaat. Begitu juga hadis Qudsi yang disampaikan oleh Nu’aim yang bermaksud:
Wahai anak Adam! Usahlah dikau lemah daripada mengerjakan empat rakaat Dhuha.
Demikian itu pasti melengkapi kebajikan genap satu hari yang dikau jalani.
(Riwayat Imam Abu Daud dengan sanad yang sahih)

Solat ini juga diriwayatkan berjumlah enam rakaat (tiga kali salam) seperti
hadis Nabi yang disebutkan oleh Jabir bin Abdullah. (Riwayat Imam al-Tabarani)

Dalam pada itu, ada juga riwayat yang dirakamkan oleh Anas bin Malik
menjelaskan bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Barang siapa yang menunaikan solat
sunat Dhuha sebanyak 12 rakaat maka nescaya Allah s.w.t. akan membina sebuah
mahligai di dalam syurga kelak. (Riwayat Imam al-Tirmizi)

Tegasnya, bilangan yang masyhur adalah antara dua hingga lapan rakaat. (Kitab
al-Majmu' karangan Imam Nawawi). Oleh itu, eloklah ia dijadikan sandaran bagi
amalan kita.

Cara melaksanakannya

Banyak bahan media cetak yang boleh dirujuk bagi mengetahui cara melakukan
solat sunat Dhuha ini merangkumi bacaan-bacaan dalam solat hinggalah dalam
sujud dan doa setelah selesai ibadat tersebut.

Cuma secara asas dan mudahnya berdasarkan hadis-hadis Nabi, solat sunat Dhuha
ini dilakukan seperti solat-solat lain, cuma bacaan yang dianjurkan Baginda
s.a.w. selepas al-Fatihah, menurut hadis yang disampaikan oleh Uqbah bin Amir,
ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua.
(Riwayat al-Hakim)

Namun begitu, perkara (bacaan dalam solat) ini adalah sesuatu yang subjektif
dan tidak statik. Maka tidak perlulah hanya terikat dengan kaifiat tertentu dan
bacaan tertentu. Apa yang penting, solat tersebut diniatkan dengan betul,
syarat-syaratnya dipenuhi dan rukun-rukunnya disempurnakan sebaik-baiknya.
Begitu jugalah dengan doa selepas solat tersebut.

Para sahabat yang komited

Antara mereka yang paling komited dengan amalan solat sunat ini ialah Abu
Darda', Abu Hurairah dan Abu Zar al-Ghifari. Mereka komited lantaran wasiat dan
pesanan Nabi s.a.w. kepada mereka ditambah pula dengan sifat mereka yang kuat
beribadat.


Panduan untuk bakal pengantin & sudah berkahwin.. cara utk mengawal kewangan,
meningkatkan dana kewangan utk berkahwin & sesudah berkahwin, berbelanja secara
berhemah.. insha ALlah

0 comments: